PERUTUSAN PRESIDEN

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh & Selamat Sejahtera,

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya YAKIN Malaysia (Badan Amal Kemajuan Insan Malaysia) masih bergerak aktif dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Tahun 2014 merupakan tahun yang amat bermakna kepada kami kerana YAKIN Malaysia menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke 10.

YAKIN Malaysia (Badan Amal Kemajuan Insan Malaysia) ditubuhkan secara rasmi pada 20hb Disember 2004 adalah satu Badan Amal yang unik. Menjadi kenangan manis buat kami apabila perjuangan yang tidak mengira lelah telah menampakkan peningkatan dan impak positif yang sangat membanggakan.

YAKIN Malaysia terus berkembang maju ke hadapan dengan penambahan pelbagai perkhidmatan dan meraih pelbagai kepercayaan sehingga menjadi di antara Badan Pertubuhan yang aktif menghulurkan bantuan di Malaysia & di peringkat Antarabangsa. Sepanjang 10 tahun penubuhan, pelbagai perkhidmatan telah dipertingkatkan dan sebanyak 1973 kes sosial telah berjaya di selesaikan setakat ini. Kes yang didaftarkan tidak terhad kepada negeri-negeri yang tertentu tetapi melibatkan seluruh negeri di Malaysia termasuk sabah & Sarawak.

Perkhidmatan ini akan di teruskan dari semasa ke semasa seperti bantuan bersepadu, bantuan sepanjang hayat yang tertumpu di dalam Bandar dan sebagainya. Usaha ini akan di perluaskan di negeri-negeri dan daerah-daerah yang lain termasuk memasarkan produk hiliran ke peringkat antarabangsa.

Sejumlah RM 10 Juta setahun diperlukan untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada golongan yang memerlukan bagi menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan modal insan, pendidikan, latihan kemahiran, memajukan Industri kecil & sederhana dan memberi perkhidmatan dalam pelbagai lapangan.

Rentetan daripada pelbagai peristiwa kepayahan yang telah kami lalui, kini kami telah mengembangkan sayap melalui penglibatan & kerjasama NGO diperingkat antarabangsa bagi membantu memenuhi kehendak kumpulan sasar yang berkaitan termasuk menjalinkan kerjasama dengan pihak UNCHR seperti memberi bantuan kemanusiaan.

Perkembangan positif ini tidak mungkin dimaterialisasi tanpa sumbangan daripada syarikat korporat dan dari asset YAKIN Malaysia iaitu warga kerjanya serta sokongan dari pelbagai pihak dan agensi-agensi, perjalanan membantu golongan sasar terlaksana.

Akhir kata, harapan saya agar kerjasama yang telah terjalin membukakan pelbagai ruang dan potensi baru bagi pembangunan sosial di peringkat Nasional dan Antarabangsa. saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menyokong usaha YAKIN Malaysia.

Sekian terima Kasih
Presiden